Mayat Wanita Dalam Kereta: Identiti Dikenal Pasti, Enam Individu Ditahan

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 10:19 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang anggota polis cedera ditembak serta penemuan mayat seorang wanita dalam kereta di Simpang Pulai, Ipoh awal pagi Ahad.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, kesemua yang ditahan mempunyai pertalian keluarga dan terdiri daripada lima lelaki serta seorang wanita.

“Kesemua mereka ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada Ahad.

image is not available

Noor Hisam berkata, mangsa wanita yang ditemui di bahagian tempat duduk belakang kereta di kawasan kebun kelapa sawit itu dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 62 tahun.

Beliau memaklumkan, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kelemasan.

“Kereta yang digunakan bukan kenderaan curi. Kes ini kini disiasat dengan lebih terperinci termasuk kaitannya dengan suspek utama,” ujarnya.

Terdahulu sekitar jam 1.15 pagi, seorang anggota polis berpangkat konstabel, Aziq Zulfikri Abdul Rajak cedera selepas ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan.

image is not available

Suspek kemudian melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian (Normawati Adnan)