
Mayat Wanita Reput Ditemui Dekat KLIA, Dipercayai Dibunuh
SEPANG — Mayat seorang wanita dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan sudah reput berhampiran kawasan Limo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 September lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat dalam keadaan tidak sempurna itu oleh orang awam sekitar jam 7.50 malam.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati mayat merupakan seorang wanita yang masih berpakaian lengkap, memakai baju-T putih serta seluar kargo pendek berwarna krim.
“Keadaan mayat didapati telah mereput, dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak.
“Berdasarkan keadaan fizikal, mayat disyaki telah meninggal dunia lebih kurang satu minggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lebih lanjut, Azman memaklumkan, mayat berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi menemui empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa. Mayat didapati berada dalam keadaan reput.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes DSP Tee Ah Chew di talian 018-2183555.
Sumber: Polis Daerah KLIA
The post Mayat Wanita Reput Ditemui Dekat KLIA, Dipercayai Dibunuh appeared first on Siakap Keli.



