Maybank IB jangka Bajet 2024 tumpu 4 isu utama, selaras dengan dasar-dasar kerajaan
diyana
02/10/2023 - 13:28
KUALA LUMPUR 2 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan insentif dan peruntukan Bajet 2024 memberi tumpuan kepada empat isu utama, selaras dengan dasar-dasar kerajaan.
Maybank IB berkata pembentangan pada 13 Oktober itu akan diselaraskan dengan dasar jangka sederhana hingga panjang kerajaan, melibatkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12); Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030); Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Firma penyelidikan itu berkata sistem gaji progresif (PWS), yang berkemungkinan dilaksanakan pada suku kedua tahun depan, memerlukan kerajaan menyediakan insentif tunai untuk majikan yang mengambil bahagian dan menerima pakai PWS yang melengkapkan gaji minimum mandatori.
“Kami melihat PWS sebagai dasar utama bagi mencapai sasaran kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) dan Ekonomi Madani untuk meningkatkan bahagian pekerja dalam kadar dalam negara kasar (KDNK) mengikut pendapatan kepada 40% menjelang 2025 dan 45% menjelang 2033, serta matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk meningkatkan gaji bulanan median sektor pembuatan kepada RM4,510 pada 2030,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Maybank IB turut menjangkakan bidang-bidang yang strategik serta mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) di bawah RMK12 MTR, NIMP 2030 dan NETR menjadi tumpuan dan menerima manfaat daripada Bajet 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, sektor atau industri seperti peralihan tenaga, iaitu tenaga boleh diperbaharui (RE); mobiliti hijau; elektronik canggih; ekonomi digital; bahan kimia khusus; penjagaan kesihatan; aeroangkasa; bahan dan mineral termaju; pertanian dan asas tani; serta kewangan Islam dan halal, akan diberi keutamaan terbesar untuk insentif dan peruntukan Bajet 2024 terutamanya untuk merangsang pelaburan tambah nilai dalam segmen ini.
Di samping itu, Bajet 2024 adalah positif untuk sektor pembinaan, dengan peruntukan tambahan RM15 bilkion untuk perbelanjaan pembangunan RMK12, terutamanya untuk menambah baik infrastruktur asas luar bandar, perkhidmatan awam yang penting, dan pelancaran projek infrastruktur utama baharu; serta pelancongan - bagi menyokong pemulihan pasca-pandemik yang berterusan dan Tahun Melawat Malaysia 2025.
Peruntukkan juga dijangka akan meningkat bagi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) memandangkan KPS RMK12 dan NIMP 2030 telah menyasarkan untuk menaikkan nisbah perbelanjaan R&D/KDNK kepada 2.5% menjelang 2025 dan 3.5% menjelang 2030.
Antara elemen utama adalah peruntukan belanjawan untuk R&D sektor awam dijangka akan ditingkatkan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), contohnya dalam teknologi benih padi hasil tinggi dan tahan iklim untuk menangani pelbagai isu tetapi saling berkaitan, iaitu pendapatan pesawah, keterjaminan makanan (untuk beras sebagai makanan ruji negara) dan perubahan iklim.
“Pelaburan langsung domestik (DDI) akan menjadi keutamaan, khususnya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan objektif KSP RMK12 dan NIMP 2030 untuk meningkatkan bahagian PMKS dalam KDNK sehingga 45% menjelang 2025 dan eksport sebanyak 25% dari 2025 hinnga 2030,” katanya.
Di samping insentif dan peruntukan, firma itu berkata perundangan akan memperkukuhkan penyatuan fiskal, displin dan tadbir urus menerusi pembentangan dua akta, sejajar dengan sasaran Ekonomi Madani untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Global kepada Top-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang, yang pada masa ini di tempat ke-61.
“Bajet 2024 juga akan menegaskan semula pembentangan undang-undang seperti Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan menjelang akhir tahun, yang akan memperkukuhkan penyatuan fiskal, disiplin serta naratif dan sasaran tadbir urus,” tambahnya.
Bagi menyokong penyatuan fiskal dan NETR, Bajet 2024 akan mengesahkan subsidi bahan api bersasar, seiring dengan pelancaran Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) mengenai maklumat sosio-ekonomi rakyat Malaysia yang juga dijangka digunakan untuk menyasarkan subsidi lain dan menambah baik pemberian wang tunai, kebajikan, perlindungan sosial dan program jaringan keselamatan. - DagangNews.com



