Maybank IB jangka KDNK suku kedua 2024 tumbuh 6.8%, atasi anggaran awal 5.8%
herman
13/08/2024 - 12:53
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2024 (2Q24) sebanyak 6.8%, mengatasi jangkaan awal KDNK 2Q24 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang meramalkan pertumbuhan 5.8%.
Menurut firma penyelidikan itu, anggaran pertumbuhan KDNK sebenar 2Q24 pihaknya adalah berdasarkan ramalan pertumbuhan yang lebih pantas untuk sektor perkhidmatan dan pembuatan berbanding jangkaan awal DOSM.
Katanya, walau bagaimanapun pihaknya mempunyai ramalan yang lebih rendah berbanding anggaran awal DOSM untuk sektor pembinaan, pertanian dan perlombongan.
"Petunjuk KDNK dari segi permintaan seperti volum jualan runcit & kenderaan bermotor, import barangan modal serta volum eksport dan import barangan menunjukkan pertumbuhan penggunaan yang lebih kukuh pada 2Q24.
"KDNK 2Q24 sebenar akan dikeluarkan pada Jumaat ini, 16 Ogos 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Maybank IB berkata, Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat dengan ketara pada 2Q24 disebabkan oleh pengukuhan dalam sektor pembuatan disebabkan peningkatan dalam industri berorientasikan eksport.
Walau bagaimanapun, katanya, sektor perlombongan dan elektrik menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan.
"Pertumbuhan pengeluaran perlombongan berkurangan di tengah-tengah peningkatan lebih perlahan dalam gas asli yang mengimbangi pertumbuhan yang lebih baik dalam minyak mentah & kondensat.
"Suku sebelumnya juga menyaksikan pertumbuhan lebih tinggi dalam Indeks Perkhidmatan dan pertumbuhan dua angka dalam output minyak sawit mentah (MSM) dan Nilai Kerja Pembinaan," jelasnya.- DagangNews.com

