Maybank IB naikkan unjuran KDNK 2024 kepada 4.7% susulan suku pertama tumbuh melebihi jangkaan

Business & Finance
20 May 2024 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB naikkan unjuran KDNK 2024 kepada 4.7% susulan suku pertama tumbuh melebihi jangkaan

herman

20/05/2024 - 16:07

KUALA LUMPUR 20 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 kepada 4.7% daripada 4.4% sebelumnya susulan pertumbuhan suku pertama 2024 (1Q24) yang melebihi daripada jangkaan.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran KDNK 2025 dengan meramalkan pertumbuhan 5.1% berbanding 5.0%.

Maybank IB juga menaikkan unjuran pertumbuhan untuk penggunaan awam kepada 5.2% daripada 4.1% untuk 2024 (2025: 4.9% daripada 4.1%), penggunaan swasta pada 5.1% tahun ini dan 5.7% tahun depan berbanding ramalan awal 5.5% untuk 2025 .

Semakan menaik itu terutamanya mencerminkan kesan kenaikan gaji perkhidmatan awam sebanyak 13 peratus (sekitar RM10 bilion) yang diumumkan baru-baru ini berkuat kuasa Disember 2024, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sambil mengakui kesan positif Akaun 3 ke atas permintaan domestik, Maybank IB berkata, bergantung kepada hasilnya, terdapat juga kelemahan kepada inisiatif ini.

"Kami tidak meletakkan ini dalam unjuran pertumbuhan KDNK sebenar kami - terutamanya komponen penggunaan swasta - sementara menunggu maklumat mengenai 'tingkah laku' ahli KWSP dalam menggunakan Akaun 3.

"Sebagai contoh, adakah ia semua untuk perbelanjaan pengguna atau adakah ia termasuk tujuan lain seperti membayar hutang isi rumah dan disimpan sebagai simpanan kecemasan,” kata Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku dalam tinjauan daripada 2.9 peratus pada S4 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pemulihan positif dalam eksport.

Sekiranya berlaku lonjakan perbelanjaan pengguna, ini boleh mencetuskan peningkatan risiko inflasi tambahan (1Q 2024: 1.7% tahun ke tahun, ramalan 2024 2.4%dan 2025 pada 3%) melalui inflasi dorongan permintaan.

Ini tambahan kepada inflasi dorongan kos yang dijangka berikutan rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan yang akan dilaksanakan tahun ini, sementara menunggu perincian masa, kuantum dan butiran mekanik, katanya.

Ini seterusnya boleh membawa kepada risiko menaik dalam tinjauan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM), yang dijangka kekal stabil pada paras 3 peratus semasa sehingga akhir 2025.

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) juga meyemak semula unjuran KDNK 2024 dengan menaikkan kepada +4.7%.

Kata firma itu, jangkaan sebelumnya sebanyak +4.5%, disokong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, aliran FDI yang berterusan, pelaburan yang berterusan dan kebangkitan dalam eksport elektronik di tengah-tengah kitaran teknologi yang meningkat. - DagangNews.com