Maybank IB ramal kontrak EPCC projek solar berskala besar 5 bakal cecah RM7.2 bilion

Business & Finance
4 Apr 2024 • 3:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB ramal kontrak EPCC projek solar berskala besar 5 bakal cecah RM7.2 bilion

herman

04/04/2024 - 15:59

KUALA LUMPUR 4 April - Projek solar berskala besar pusingan kelima (LSS5) yang berkapasiti 2 gigawatt (GW) dijangka menawarkan kontrak kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sehingga RM7.2 bilion.

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), congakan tersebut berdasarkan nilai kerja EPCC sebanyak RM3.6 juta bagi setiap megawatt (MW).

"Kami menjangkakan pembida yang disenarai pendek akan diumumkan pada suku keempat 2024 (4QCY24) selepas tarikh akhir penyerahan cadangan pada 25 Julai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menerusi nota itu, Maybank IB mengulangi pendirian positif terhadap prospek industri tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia berikutan pembukaan tender LSS5 beberapa hari lalu.

"Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Suruhanjaya Tenaga (EC) kini sedang mencari proposal melalui proses pembidaan yang kompetitif untuk membangunkan projek LSS5 yang berkapasiti 2GW (Gigawatt).

"Semua projek LSS5 dijadualkan memulakan operasi menjelang 2026. Kami difahamkan dari pemain industri bahawa anugerah itu akan diumumkan tidak lama lagi.

"Roll-out LSS5, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang sedang berlangsung dan CGPP (Program Kuasa Hijau Korporat) akan memastikan pemain tenaga boleh baharu (RE) sibuk selama dua hingga tiga tahun akan datang," jelasnya.

Terdapat empat pakej di bawah LSS5 dengan kapasiti projek sehingga 500MW setiap satu.

Tiga daripada empat pakej adalah untuk projek solar di atas bumbung atau tanah dengan kuota agregat 1.5GW.

Pakej keempat adalah untuk projek solar terapung dengan kuota total 500MW.

Pemain Solar EPCC yang terkenal termasuk Solarvest Holdings Bhd, Cypark Resources Bhd, Sunview Group Bhd, Pekat Group Bhd dan Samaiden Group Bhd.

Maybank IB mempunyai penilaian 'Beli' pada Solarvest (harga sasaran: RM 1.76) manakala bagi skop yang lebih luas ialah Mega First Corp Bhd (MFCB) (harga sasaran : RM4.70).- DagangNews.com