Maybank Islamic sasar lebih 4 juta pelanggan bayar zakat secara digital
zulfadli
25/07/2023 - 12:35
KUALA LUMPUR 25 Julai - Maybank Islamic Bhd melancarkan perkhidmatan pembayaran zakat digital secara automatik pertama seumpamanya untuk akaun deposit dan akaun pelaburan patuh syariah.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai “Auto Debit untuk Zakat Simpanan & Pelaburan” kini boleh didapati melalui platform digital Kumpulan Maybank, iaitu aplikasi MAE dan laman web Maybank2u, menyediakan perkhidmatan yang mudah dan lancar kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan zakat mereka.
Sehingga kini, lebih 4 juta pelanggan Maybank Islamic boleh merasai kemudahan baharu ini.
Dengan perkhidmatan baharu ini, pelanggan boleh menyatukan semua pembayaran zakat mereka untuk akaun simpanan dan pelaburan ke dalam satu penyata.
Amaun zakat kemudiannya akan dikira secara automatik dan ditolak atas persetujuan pemegang akaun menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, ciri baharu yang ditawarkan ini sejajar dengan komitmen kumpulan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melangkaui perbankan tradisional melalui pendigitalan dan kemajuan teknologi.
Katanya, pihaknya berhasrat untuk memberi perkhidmatan ini kepada lebih 4 juta pelanggan kami serta orang ramai yang ingin menunaikan kewajipan zakat mereka tetapi masih belum mempunyai akaun Maybank Islamic.
"Kewangan Islam melangkaui hubungan transaksional semata-mata, merangkumi nilai keadilan, kesaksamaan dan tanggungjawab sosial. Aspirasi ini membawa tujuan yang lebih besar untuk membantu pelanggan kami bukan sahaja dalam mencapai matlamat kewangan mereka, tetapi juga sejajar dengan kepercayaan rohani dan keperluan etika.
"Dengan rumusan baharu ini, pelanggan ditawarkan kemudahan untuk menyatukan sumbangan zakat mereka dengan lancar sambil menunaikan kewajipan rohani," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Perkhidmatan Auto Debit untuk Zakat Simpanan & Pelaburan kini tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa Maybank Islamic, termasuk daily fund-i, term deposit dan term fund-i.
Pada masa ini, pelanggan boleh membuat pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ciri ini akan diperluaskan ke badan zakat lain dalam masa terdekat.
Perkhidmatan juga ini akan menentukan sama ada jumlah baki dalam akaun yang mengambil bahagian memenuhi keperluan nisab minimum (jumlah minimum yang perlu dimiliki seorang Muslim sebelum diwajibkan membayar zakat).
Pelanggan yang memenuhi keperluan ini akan menerima notifikasi, untuk memaklumkan kepada mereka tentang kelayakan pembayaran zakat dan sebaik sahaja potongan zakat dibuat, pelanggan akan menerima pemberitahuan yang mengesahkan pembayaran telah berjaya.
Sebarang maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Maybank2u di www.maybank2u.com.my/AutoDebitZakat atau kunjungi cawangan Maybank terdekat. - DagangNews.com


