Maybank Islamic tawar khidmat penulisan wasiat digital serendah RM600 menerusi EzyWasiat
zulfadli
14/06/2023 - 14:48
KUALA LUMPUR 14 Jun - Maybank Islamic Bhd hari ini melancarkan EzyWasiat, perkhidmatan penulisan wasiat yang inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia.
Pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang betul, dan dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.
Perkhidmatan digital baharu ini membolehkan pelanggan merancang dan menyediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan syariah dan undang-undang faraid.
Untuk menyediakan kemudahan ini kepada pelanggan, Maybank Islamic menjalinkan kerjasama dengan syarikat fintech, CreateWills Sdn Bhd serta menggabungkan nasihat sokongan dan pegawai perhubungan pelanggan Maybank Islamic yang berdedikasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank itu untuk membangunkan rumusan baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.
Beliau berkata, pihaknya kekal komited untuk menerajui perbankan patuh syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia.
"Kerjasama antara Maybank Islamic dan CreateWills menandakan pencapaian penting dalam bidang perkhidmatan penulisan wasiat bagi umat Islam, khususnya dari segi perancangan harta patuh syariah.

"Ia juga mengukuhkan komitmen Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatannya mudah diakses oleh semua umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Platform EzyWasiat dibangunkan mengikut model bantuan unik yang mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat.
Tujuan utama EzyWasiat adalah untuk memberikan kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan harta tersebut diuruskan dengan betul setelah pemergian individu.

Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan.
Untuk maklumat lanjut tentang EzyWasiat, termasuk integrasi faraid dalam pengurusan harta, layari Maybank.my/EzyWasiat atau hubungi Maybank Islamic di wealthdistribution@maybank.com. - DagangNews.com

