Maybank lancar akaun ringgit di Singapura

Business & Finance
30 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Maybank lancar akaun ringgit di Singapura

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) memperkukuh tawaran perbankan rentas sempadannya dengan menjadi bank pertama di Singapura yang membolehkan pelanggan korporat layak di negara itu menerima, menyimpan dan menjalankan transaksi dalam ringgit Malaysia.

Kemudahan Akaun Semasa Ringgit Korporat itu membolehkan perniagaan yang mempunyai akaun semasa dengan Maybank memindahkan dolar Singapura atau mata wang asing kepada ringgit Malaysia bagi mengendalikan urusan perniagaan serta aktiviti pelaburan yang diluluskan di Malaysia.

Urusan berkenaan merangkumi penyelesaian aktiviti perdagangan, pembayaran barangan dan perkhidmatan serta pembiayaan operasi perniagaan di peringkat domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapore, Alvin Lee berkata, syarikat menyaksikan peningkatan permintaan yang ketara bagi penyelesaian perbankan, pembayaran dan perbendaharaan rentas sempadan sejak pengumuman  Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kemudahan ringgit berteraskan pencapaian penting ini memberi fleksibiliti dan kawalan lebih besar kepada pelanggan korporat, sekali gus memudahkan urusan transaksi rentas sempadan.

“Dengan mengurangkan halangan dalam aliran perniagaan, kami menyumbang kepada rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh dan koridor Malaysia-Singapura yang lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, pelanggan korporat juga boleh membeli dan menyimpan mata wang ringgit lebih awal sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengurus pegangan mata wang mereka dengan lebih berkesan.

Penawaran baharu tersebut dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Singapura, terutamanya ketika integrasi ekonomi kedua-dua negara semakin kukuh menerusi JS-SEZ.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Singapura kekal sebagai sumber langsung terbesar pelaburan swasta yang diluluskan daripada pelabur asing utama di Malaysia.

Negara jiran itu menyumbang sebanyak RM93 bilionpada tahun 2025 dan RM40 bilion bagi separuh pertama tahun 2026, dengan Johor menjadi penerima manfaat utamanya.

Tambahnya, langkah itu turut menyokong matlamat pelan lima tahun ROAR30 Maybank untuk menjadi bank pilihan bagi transaksi Malaysia-Singapura serta rakan perbankan transaksi dan pembayaran teraju di rantau ASEAN.

Bagi akaun semasa berkenaan, tiada deposit permulaan, keperluan baki minimum mahupun yuran bulanan dikenakan kepada pelanggan korporat yang layak.

Malah, pemindahan wang dan remitan dari Maybank Singapore ke Maybank Malaysia tidak mengenakan sebarang caj, manakala caj pemprosesan dan bank ejen bagi pemindahan layak turut dikecualikan sehingga notis selanjutnya.

Pelanggan boleh mengakses akaun semasa ringgit mereka dengan mudah menerusi saluran perbankan perniagaan Maybank, termasuk platform baharu Maybank2E yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. – UTUSAN

The post Maybank lancar akaun ringgit di Singapura appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved