Maybank Mohon Maaf, Beri Jaminan Sistem Pulih Sepenuhnya

9 Apr 2024 • 8:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Maybank memaklumkan kesemua perkhidmatan dan aplikasi mereka kini sudah pulih sepenuhnya serta beroperasi seperti biasa selepas berdepan dengan gangguan sistem hampir selama lapan jam pada Jumaat lepas.

Maybank dalam satu kenyataannya  meminta maaf kepada semua pengguna dan memberi jaminan bahawa pihaknya telah berusaha menyelesaikan serta memulihkan perkhidmatan secepat mungkin sejurus selepas insiden itu berlaku.

“Pada 5 April 2024 sekitar jam 9.20 malam, Maybank mengalami gangguan perkhidmatan yang menjejaskan urusan kad debit, perbankan dalam talian dan perkhidmatan ATM kami.

“Isu ini telah menghalang pelanggan daripada membuat pembayaran dalam talian serta di premis perniagaan untuk sementara waktu.

“Sejurus selepas menyedari isu tersebut, pasukan teknikal kami telah berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, perkhidmatan yang terjejas beransur pulih dan beroperasi dengan sepenuhnya pada jam 11:34 malam sama.

Katanya, semua transaksi pelanggan juga telah diurus dan diselesaikan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami akibat isu yang tidak dijangka ini dan ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan pemahaman mereka,” katanya.

Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti kepada Maybank susulan operasi perkhidmatan perbankannya yang tergendala baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, tindakan itu sebagai pengajaran bukan sahaja kepada Maybank, tetapi juga menjadi iktibar kepada bank-bank atau operator yang lain supaya kejadian sama tidak berulang sehingga menyusahkan pengguna. – Getaran, 9 April 2024