Maybank tawar pembiayaan automobil bersepadu kepada pembeli Tesla

Business & FinanceCars
21 Jul 2023 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank tawar pembiayaan automobil bersepadu kepada pembeli Tesla

zulfadli

21/07/2023 - 15:00

KUALA LUMPUR 21 Julai - Maybank menawarkan kadar pembiayaan keutamaan dan kompetitif serta pilihan pembayaran balik yang fleksibel, dengan pembiayaan sehingga 90% melalui Pembiayaan EV Maybank kepada bakal pemilik kenderaan elektrik (EV) Tesla.

Proses permohonan yang diperkemas menyediakan bakal pembeli Tesla dengan pembiayaan automobil bersepadu yang menawarkan perlindungan insurans/takaful dan faedah lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penglibatan pihaknya sebagai rakan kongsi pembiayaan EV utama untuk Tesla adalah sejajar dengan aspirasi bank itu untuk menjadi pembiaya alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) terkemuka di ASEAN.

"Melalui inovasi canggih Tesla dan disokong oleh rumusan kewangan inovatif Maybank, kami percaya ia akan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran EV di negara ini, memacu penyelesaian mobiliti mampan serta meningkatkan penggunaan tenaga bersih dalam mengurangkan pelepasan karbon," katanya dalam kenyataan media di sini.

Pembiayaan EV menawarkan kelulusan satu hari dengan pasukan jualan kereta yang berdedikasi, yang secara peribadi menangani setiap pelanggan.

Selepas membuat pembelian untuk Tesla mereka dalam talian, pembeli boleh memilih untuk pembiayaan EV Maybank, memastikan proses yang lancar dan mudah dari awal hingga akhir.

Di samping itu, 100 pembeli Tesla pertama di bawah pembiayaan auto bersepadu Maybank berpeluang menerima pelaburan awal bernilai RM500 melalui Akaun Emas Maybank Islamic (MIGA-i).

image is not available

Sementara itu, syarikat insurans dan takaful kumpulan Etiqa akan menawarkan Tesla Ensure, dengan menyediakan cadangan insurans motor dan takaful holistik untuk pelanggan Tesla.

Maybank Islamic juga melalui perkongsian dengan ParkEasy, memperluaskan manfaat nilai tambah kepada pemilik EV dan kereta hibrid seperti akses kepada ruang pengecasan 1,200 EV ParkEasy di seluruh negara pada kadar diskaun 30%.

Melalui aplikasi ParkEasy, InCharge, Maybank Islamic turut menyediakan kredit InCharge berjumlah sehingga RM500 untuk jumlah pembiayaan EV Islamic sebanyak RM250,000 dan ke atas.

Sebarang maklumat lanjut tentang rumusan pembiayaan auto bersepadu Maybank untuk Tesla, sila layari maybank.my/tesla. - DagangNews.com