Mayu Global peroleh semula 2 kenderaan mewah yang disita babitkan siasatan skim piramid MBI

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2025 • 4:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mayu Global peroleh semula 2 kenderaan mewah yang disita babitkan siasatan skim piramid MBI

image is not available

04/08/2025 - 16:09

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pihak polis melepaskan dua kereta mewah milik pengeluar produk keluli, Mayu Global Group Bhd yang sebelum ini disita sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap skim piramid MBI.

Kumpulan itu berkata, kereta Mercedes Benz GLE 450 Coupe dan BMW 330LI yang disita telah dilepaskan di bawah bon pada 1 Ogos 2025, tertakluk kepada terma dan syarat yang dinyatakan dalam surat tawaran.

Katanya, di bawah Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, perintah penyitaan akan terhenti berkuat kuasa selepas 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan tersebut.

“Lembaga pengarah akan terus memantau situasi ini dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Minggu lalu, Mayu Global memaklumkan,pihak polis telah melepaskan RM4.3 juta daripada akaun bank miliknya, namun RM6.4 juta masih dibekukan.

Akaun bank milik Mayu Global dan tujuh anak syarikatnya, berjumlah keseluruhan RM10.67 juta, telah dibekukan sejak 10 April lalu sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap skim piramid MBI yang telah lama berjalan.

PDRM juga telah menahan pengarah eksekutif Mayu Global, Tan Kim Hee, pada 2 April lalu bagi membantu siasatan kes ini, namun beliau telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan pada 7 April.

Kim Hee merupakan abang ipar kepada pengasas Kumpulan MBI, Tedy Teow Wooi Huat, dan juga bapa kepada pengarah eksekutif Mayu Global, Tan Qian Hui.

Beliau juga merupakan pemegang saham utama syarikat tersebut dengan pegangan sebanyak 11.095% - DagangNews.com

standard