Mazda Bangunkan Kilang Bateri EV Di Jepun – Mula Operasi Tahun 2027

TechnologyCars
8 Sep 2025 • 12:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam industri kenderaan elektrik (EV), Mazda mengumumkan pembinaan kilang terbarunya di Iwakuni, Jepun, hasil kerjasama dengan wilayah Yamaguchi dan bandar Iwakuni. Kilang ini merupakan yang pertama dibangunkan Mazda di negara Jepun dalam tempoh lebih tiga dekad selepas pembukaan kilang Hofu No. 2 dibuka pada tahun 1992.

Projek pembinaan kilang ini dijadualkan bermula pada November 2025 dengan kawasan tapak seluas kira-kira 190,000 meter persegi. Operasi kilang pula dijangka akan dimulakan pada tahun 2027.

image is not available

Kilang ini akan memberi tumpuan kepada penghasilan salah satu komponen paling penting dalam EV, iaitu bateri. Menggunakan sel lithium-ion berbentuk silinder yang dibekalkan oleh Panasonic Energy, kilang akan menggabungkan sel-sel tersebut menjadi modul sebelum dipaketkan sebagai pek bateri lengkap.

Apabila beroperasi sepenuhnya, kilang ini mampu menghasilkan sehingga 10 gigawatt jam (GWj) pek bateri setiap tahun, cukup untuk membekalkan tenaga kepada sebilangan besar model EV yang bakal dilancarkan oleh Mazda di masa hadapan.

image is not available

Bagi Mazda, pembinaan kilang ini lebih daripada sekadar sebuah fasiliti pembuatan. Ia adalah satu langkah persiapan ke arah era elektrifikasi, dalam masa yang sama mengekalkan nilai yang menjadi identiti jenama seperti ketelitian, ketahanan dan keseronokan memandu.

Kilang Iwakuni juga direka supaya dapat memberikan manfaat kepada komuniti sekeliling. Mazda berhasrat mewujudkan suasana kerja yang selamat dan selesa, membuka peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan di wilayah Yamaguchi.