
GOMBAK, 11 JULAI: Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan sembilan ekor lembu dan 20 kambing korban kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini, hari ini.
Dato’ Menteri Besar berkata agihan itu adalah acara tahunan bagi kawasannya sejak dari sebelum pandemik melanda negara.
“Ia diserahkan mengikut jawatan kuasa penduduk (JKP), kampung, lokaliti dan pangsapuri. Alhamdulilah program ini menunjukkan begitu akrab hubungan antara pusat khidmat dengan komuniti dan masyarakat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Qurban Perdana DUN Sungai Tua yang diadakan di Padang Changi, Kampung Sungai Tua di sini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu turut ke Qurban Perdana bagi DUN Gombak Setia yang diadakan di Kampung Sungai Pusu dan Qurban Perdana JPK Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 1 yang diadakan di Taman Melawati.
Terdahulu Amirudin turut menyertai aktiviti korban dengan menyembelih seekor lembu dan kambing.
Hari ini adalah hari kedua beliau terbabit dalam program ibadah korban di Parlimen Gombak selepas semalam menyertai aktiviti penyembelihan di tujuh lokasi merangkumi empat di DUN Sungai Tua, DUN Gombak Setia (dua) dan DUN Hulu Kelang (satu).
The post MB agih sembilan lembu, 20 kambing korban di DUN Sungai Tua appeared first on Selangorkini.
