KUALA KUBU BHARU, 27 DIS: Aktiviti Jambori Pengakap Malaysia mampu menjadi medan terbaik menguji kefahaman dan kemampuan diri ketika berdepan cabaran, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dunia kini berdepan pelbagai ujian, termasuk ketika pandemik Covid-19 dan yang terbaharu perkembangan pantas teknologi semasa.
“Sebahagian besar kehidupan kita sekarang adalah bersama gajet di tangan. Namun begitu, alatan itu sedikit sebanyak menyebabkan kita menjadi manja dan cuai.
“Pengakap sewajarnya jadi platform terbaik untuk uji semangat berdikari dan kebolehan diri. Apabila berdepan cabaran, ketika itulah kita memerlukan kecekalan untuk keluar daripada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup Jambori Pengakap Malaysia ke-14 di Kem Bina Semangat di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Nasaruddin Shamsuddin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin.
Program yang bermula Ahad lalu sehingga hari ini diadakan serentak dengan Jambori Keamanan International Union of Muslim Scouts (IUSM) ke-8, anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia.
Program disertai seramai 3,600 peserta dari dalam serta luar negara termasuk Maldives, China, Pakistan dan Jordan.
The post MB: Aktiviti pengakap jadi medan uji ketahanan diri depani cabaran appeared first on Selangorkini.


