
SHAH ALAM, 31 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri kuliah Maghrib khas menjelang 2023 yang menggantikan sambutan tahun baharu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Kuliah bertajuk ‘Demi Masa’ yang disampaikan pendakwah terkenal yang juga Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Ustaz Don Daniyal Don Biyajid turut disertai hampir 1,000 jemaah.
Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan acara sambutan tahun baharu dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan musibah banjir dan tanah runtuh.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri juga tidak menganjurkan sambutan tahun baharu 2022 selepas banjir besar melanda negeri ini pada Disember 2021 dan diganti dengan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat.
Selain Selangor, sambutan tahun baharu 2023 peringkat persekutuan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka turut dibatalkan susulan musibah banjir yang melanda beberapa negeri.
The post MB hadir program agama ganti sambutan tahun baharu, disertai 1,000 jemaah appeared first on Selangorkini.


