SHAH ALAM, 30 DIS : Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam menjadikan amalan selawat dan zikir sebagai pedoman dalam meneruskan kehidupan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata amalan itu juga merupakan resipi dalam menjamin kemakmuran sesebuah negeri dan negara.

“Selaku pemerintah yang bertanggungjawab dengan amanah ini, Insya-Allah, di saat kita mengejar dan genggam segala yang ada di dunia tersemat di hati kita Allah (zikir) dan Rasulullah SAW (selawat).
“Dalam perjalanan kita menuju kejayaan dan kemakmuran di dunia, penting kita melihat Allah dan Rasulullah SAW sebagai pedoman dan tujuan kehidupan kita,” katanya ketika berucap pada Festival Darul Ehsan Berselawat di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam di sini.

Berlangsung tiga hari sejak Jumaat, Amirudin bercadang mengembangkan lagi majlis ilmu itu pada masa hadapan selepas melihat beberapa siri kejayaan sambutan memberangsangkan sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya dapat lihat amalan selawat dan berzikir sudah menjadi budaya dalam masyarakat di Selangor.
“Di masa depan inisiatif ini akan terus dikembangkan dan semoga kejayaan serta keberkahan dilimpahkan kepada kita, keluarga dan bumi Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Kerajaan Negeri kerap menganjurkan Majlis Darul Ehsan Berselawat termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan yang menghimpunkan ribuan umat Islam.
Pada tahun ini, program tersebut dianjurkan beberapa kali antaranya pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari.
Pada 2 Jun, Majlis Darul Ehsan Berselawat turut dianjurkan sempena majlis penutup Festival Turath Islami Selangor di Dataran Tapak Karnival Stadium Shah Alam, diikuti pada 31 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.



The post MB: Jadikan amalan selawat, zikir pedoman hidup, resipi jamin kemakmuran appeared first on Selangorkini.
