MB Johor mahu DayOne, PDT dan Ranhill SAJ kaji penyaluran lebihan air terawat kepada penduduk

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 11:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MB Johor mahu DayOne, PDT dan Ranhill SAJ kaji penyaluran lebihan air terawat kepada penduduk Image from: MB Johor mahu DayOne, PDT dan Ranhill SAJ kaji penyaluran lebihan air terawat kepada penduduk johardy06/11/2026 - 11:25 Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU 6 Nov - Kerajaan Johor meminta DayOne, Perbadanan Darul Ta'zim (PDT) dan Ranhill SAJ mengadakan perbincangan teknikal dengan segera bagi meneroka kemungkinan menyalurkan lebihan air terawat daripada loji rawatan air syarikat pusat data itu untuk kegunaan orang ramai.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu dilihat berdaya maju dan berpotensi meningkatkan bekalan air terawat bagi memenuhi keperluan penduduk susulan pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat.

 

Beliau berkata, inisiatif itu wajar diteroka memandangkan Sungai Tebrau mempunyai aliran air kira-kira 80 juta liter sehari (MLD), manakala penggunaan maksimum DayOne hanya sekitar 10 MLD.

 

“Jadi, saya ingin meminta supaya satu mesyuarat teknikal diadakan secepat mungkin bagi meneroka dan menentukan bagaimana teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk memastikan lebih banyak air terawat dapat dibekalkan kepada rakyat, selaras dengan perkembangan ekonomi Johor.

 

“Bagi bekalan elektrik pula, seperti yang dijelaskan Jamie (Ketua Pegawai Eksekutif DayOne, Jamie Khoo) sebelum ini, mereka sedang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam penggunaan tenaga boleh baharu, panel solar dan inisiatif lain bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi untuk operasi kecerdasan buatan (AI) di sini,” katanya.

 

Kurangkan kebergantungan kepada bekalan air sedia ada

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran sumber air alternatif di DayOne Kempas Tech Park di sini pada Khamis. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Muhammad Naqib Md Ghazali; serta Khoo.

 

Onn Hafiz berkata, loji berkenaan menggunakan air mentah daripada Sungai Tebrau yang tercemar sebelum dirawat bagi memenuhi keperluan operasi pusat data itu, sekali gus mengurangkan kebergantungannya kepada rangkaian bekalan air terawat sedia ada.

 

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen DayOne yang berpangkalan di Singapura untuk membangunkan infrastrukturnya sendiri serta mengurus sumber air secara lebih mampan tanpa memberikan tekanan tambahan terhadap bekalan air terawat untuk kegunaan domestik.

 

Pelaburan DayOne dijangka meningkat kepada RM28 bilion

Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz berkata, DayOne telah merealisasikan pelaburan kira-kira RM25 bilion di Johor setakat September lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM28 bilion menjelang akhir tahun ini.

 

Beliau berkata, pelaburan berkenaan turut mewujudkan kira-kira 650 pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri itu, termasuk 432 jawatan yang diisi oleh rakyat Johor, dengan gaji permulaan sekitar RM4,000 sebulan.

 

“DayOne telah menunjukkan dan membuktikan bahawa lebih 650 orang yang bekerja di Johor adalah rakyat Johor dan insya-Allah, jumlah ini akan terus meningkat,” katanya.

 

Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus memastikan setiap pelaburan dalam sektor pusat data dan AI dinilai dengan teliti oleh jawatankuasa teknikal bagi melindungi kepentingan negeri serta rakyat.

 

Tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelaburan, air dan infrastruktur serta kerja raya terlibat dalam penilaian berkala terhadap kemasukan syarikat berkenaan ke Johor.

 

Onn Hafiz turut berkata, DayOne telah memperuntukkan sumbangan RM3 juta bagi meningkatkan pembangunan pendidikan dan bakat di Johor serta komited untuk menyediakan jumlah yang sama setiap tahun.

 

Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan pemain industri penting bagi memastikan pertumbuhan sektor digital disokong infrastruktur mampan, di samping memberikan manfaat ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. - Bernama

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved