Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafizl Ghazi mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri menyedari dan memandang serius kebimbangan rakyat mengenai operasi Network School di Forest City. Operasi Network School di Johor menjadi tumpuan ramai kerana pengasasnya Balaji Srinivasan pernah melabel diri beliau sebagai seorang “Zionis Teknologi” dan dakwaan penglibatan warga Israel menggunakan pasport kedua yang menyertai sekolah tersebut.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan negeri serta negara.

Antara impian yang pernah diutarakan ialah Srinivasan ialah membentuk komuniti atas talian yang terdiri daripada pengasas, pencipta dan pekerja teknologi jarak jauh yang akhirnya memperoleh wilayah fizikal. Seterusnya komuniti ini berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah negara berdaulat dengan Forest City dilihat sebagai lokasi pertama negara teknokratik ini diasaskan.
Kerajaan negeri meminta Kementerian Dalam Negara, Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi keselamatan melakukan siasatan ke atas Network School. Ini adalah dalam bentuk mengesahkan identiti & kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan & penggunaan pasport kedua ,jenis pas & tujuan kemasukan dan tujuan sebenar kemasukan dan aktiviti sebenar
Agensi persekutuan turut diminta menentukan status operasi Network School dan sama ada ia memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara. Sementara itu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi-agensi berkaitan akan menyemak lesen premis, penginapan, serta pelbagai aktiviti perniagaan mendapat kelulusan ataupun tidak.

Jika siasatan mendapati pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau unsur yang menjejaskan keselamatan negeri/negara, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
Kewujudan Network School di Forest City telah lama menjadi bualan warga internet. Kawasan perumahan yang menerima jolokan Bandar Hantu kerana jumlah penduduk yang rendah ini menerima perhatian dunia selepas dipaparkan dalam puluhan video YouTube kerana dianggap sebagai antara projek paling pembinaan merugikan dalam sejarah dunia. Semua video promosi Network School mengatakan lokasi mereka adalah “berhampiran Singapura” dan enggan mengatakan mereka terletak di dalam Malaysia menimbulkan kemarahan rakyat negara.
Bagi menghidupkan semula Forest City, Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) diumumkan kerajaan Madani dengan kadar cukai 0% akan diberikan kepada Skim Pejabat Keluarga Tunggal yang layak untuk tempoh 10 tahun.






