AMPANG JAYA, 31 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di sini, hari ini.
Perjumpaan di Pusat Khidmat Penyelaras DUN Hulu Kelang bertujuan mencari penyelesaian terbaik dalam menangani permasalahan yang berbangkit di kawasan AU2.

Pemimpin terlibat ialah Ahli Majlis Zon 1 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Aziz Jalal; Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Baru, Hairizain Hashim dan pengurusan Madrasah Al-Ehsaniah.
Mereka mengutarakan isu ruangan parkir yang terhad di Klinik Kesihatan AU2 serta sekitar kawasan perumahan, pembangunan semula infrastruktur Surau Mawaqaf dan Madrasah Al-Ehsaniah, Hulu Kelang.

Hadir sama dalam pertemuan dengan ahli parlimen Gombak itu ialah Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli, Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.
Amirudin menunaikan solat Zohor bersama penduduk di Surau Al Islah, AU2 sebelum menyantuni dan memenuhi permintaan jemaah untuk swafoto.
The post MB jumpa pemimpin setempat, bincang isu berbangkit di Hulu Kelang appeared first on Selangorkini.

