MB: Kerajaan stabil penting kukuhkan ekonomi, pupuk keyakinan pelabur

10 Aug 2023 • 12:24 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

HULU LANGAT, 10 OGOS: Kestabilan politik sesebuah kerajaan penting bagi mengukuhkan negara dalam pelbagai sudut terutama pemulihan ekonomi, sekali gus menarik keyakinan pelabur luar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hubungan yang sehaluan antara Kerajaan Negeri dan persekutuan juga akan membawa pentadbiran negara pada landasan betul.

“Kestabilan dicapai selepas pilihan raya umum. Bentang belanjawan, tubuh kerajaan perpaduan dan enam bulan pertama tahun ini dapat lonjakan 60 peratus pelaburan baharu bernilai tinggi.

“Ini didorong keyakinan pelabur luar kepada kerajaan yang stabil. Kita tidak akan tumbang atau runtuh, sebaliknya akan kekal untuk lima tahun lagi,” katanya dalam ceramah malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata momentum pelaburan yang mengukuh sejak suku pertama tahun ini dijangka terus meningkat pada suku kedua.

Beliau memaklumkan negara menerima pelaburan berjumlah RM71.4 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi, meningkat 60 peratus berbanding RM44.7 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

Pada 27 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif Ekonomi Madani bagi mengangkat semula ekonomi negara, yang dijangka membawa limpahan hasil untuk rakyat.

Kerangka tersebut menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai kerajaan dalam tempoh 10 tahun.