MB kesal kenang kerajaan Muhyiddin lewat hantar vaksin ketika pandemik

4 Aug 2023 • 1:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

GOMBAK, 4 OGOS: Dato’ Menteri Besar masih terkenang dan kecewa dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lambat bertindak ketika pandemik Covid-19.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pentadbiran negeri terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan pelali yang dibeli bagi melindungi rakyat daripada jangkitan virus itu.

“Saya bukan buat cerita. Selangor beli vaksin, tetapi kerajaan persekutuan (ketika itu) hantar lambat. Sudah beli tetapi tidak boleh ambil. Sampai Sultan Selangor buat kenyataan,” katanya.

Bercakap ketika ceramah perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang malam tadi, beliau mendedahkan Selangor juga terpaksa mengambil masa lama untuk membuat penstrukturan semula air.

image is not available
Orang ramai bersorak ketika mendengar ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI

Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menjelaskan isu tersebut hanya selesai selepas 10 tahun, apabila kerajaan persekutuan dan negeri sehaluan ketika itu.

Dalam pada itu, beliau terus menggesa rakyat keluar mengundi pada 12 Ogos dan memilih gabungan HARAPAN-Barisan Nasional bagi meneruskan pentadbiran selari antara negeri dan persekutuan.

“Pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey tidak akan terjadi jika persekutuan tidak selari dengan negeri. Projek tersebut perlu dapat kelulusan persekutuan walaupun kita ada tanah.

“Oleh sebab itulah rakyat kena pilih parti yang selari, barulah ada kesinambungan untuk kita terus majukan Selangor dan terus selamatkan negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mendedahkan Selangor membeli 2.5 juta dos vaksin pada Februari 2021, namun hanya menerimanya empat bulan kemudian.

Beliau memaklumkan pembekal tidak membenarkan vaksin tersebut diambil susulan bekalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak habis digunakan.