SHAH ALAM, 23 DIS: Dato’ Menteri Besar melancarkan portal digital kempen visitselangor2025.my sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Disempurnakan sempena penganjuran Festival dan Konsert TMS2025 di Setia City Park, Dato’ Seri Amirudin Shari turut melancarkan maskot rasmi kempen iaitu SPARK the Fireflies.
Tourism Selangor juga mempersembahkan lagu tema rasmi TMS2025 berjudul Surprising Selangor yang dibawakan khas oleh penyanyi, Aizat Amdan.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dalam kenyataan berkata TMS2025 adalah satu pencapaian penting dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bakal berakhir pada 2025.
“Bagi menyokong kempen ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM8 juta dalam Belanjawan 2025 bagi membiayai pelbagai inisiatif termasuk acara seperti Art of Speed Malaysia dan Selangor Travel Fair serta geran kepada operator pelancongan tempatan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen dalam memajukan sektor pelancongan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Dengan sasaran 8 juta pelancong mampu menghasilkan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM11.7 bilion dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Terdahulu, Festival dan Konsert TMS2025 itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung. Antara artis membuat persembahan Cakra Khan, Datuk Amy Search, Ameng Spring, Zubir Khan dan Suki Low.
November lalu, Suee Lim memaklumkan Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dengan 40 peratus dari luar negara sempena TMS2025.
Jelasnya, Tourism Selangor melaksanakan pelbagai program promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk menggunakan semua platform menonjolkan lokasi menarik di serata negeri.
The post MB lancar portal digital kempen Tahun Melawat Selangor 2025 appeared first on Selangorkini.


