MB: Lebih 12,000 penerima TAWAS belum tuntut manfaat RM1,500

LocalPersonal Finance
4 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Lebih 12,000 penerima TAWAS belum tuntut manfaat RM1,500

SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 12,626 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang layak menerima manfaat RM1,500 masih belum membuat tuntutan, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sehingga 20 Julai lalu, hanya 8,642 ahli kelahiran 2008 selesai mengemukakan tuntutan dan menerima bayaran mengikut fasa.

"Dari semasa ke semasa, kerajaan berusaha menghubungi mereka. Antaranya ketika pelaksanaan program Back To School bersama peserta Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi membolehkan maklumat penerima yang masih belum membuat tuntutan dikemas kini.

"Langkah seterusnya ialah memperhebat hebahan serta bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk mengesan mereka yang masih belum menuntut manfaat ini.

"Insya-Allah menjelang penghujung 2026, kita akan memperkemaskan usaha tersebut dan mengesan mereka di seluruh negeri dengan kerjasama pemimpin masyarakat supaya tiada penerima yang tercicir daripada menuntut manfaat yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Amirudin berkata, permohonan tuntutan manfaat TAWAS hanya boleh dibuat apabila ahli mencapai usia 18 tahun.

Menurut beliau, setiap ahli perlu melengkapkan dokumen yang diperlukan bagi tujuan semakan sebelum pembayaran dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

TAWAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diuruskan YAWAS bagi menyediakan manfaat kewangan kepada anak kelahiran Selangor apabila mencapai usia 18 tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved