AMPANG JAYA, 31 OGOS: Orang Asli diminta menjaga kesihatan masing-masing termasuk mengambil vaksinasi demi memastikan kehidupan sentiasa dalam keadaan baik.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaum minoriti itu juga perlu mendapatkan rawatan di hospital serta merujuk pegawai kesihatan sekiranya mengalami sakit kritikal.

“Jangan ada rasa takut. Pergi berjumpa doktor untuk periksa kesihatan. Ini penting untuk pastikan kehidupan sentiasa baik.
“Dapatkan juga perkara asas seperti suntikan vaksin. Ini juga penting untuk jamin kesihatan selain mendapatkan rawatan,” katanya ketika karnival kesihatan dan sambutan Hari Orang Asli Sedunia di Perkampungan Orang Asli Kemensah, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu turut memberi jaminan akan menyediakan pelbagai kemudahan bagi memberi kehidupan lebih selesa kepada penduduk situ.
“Akan ada benda yang ditambah baik seperti lampu jalan. Wakil rakyat sebelum ini Saari Sungip sudah baiki jalan.
“September ini kita akan hantar PA sistem (set siar raya) untuk kegunaan penduduk dan letak di balai raya supaya semua boleh gunakan,” katanya.

Dalam program berkenaan, Amirudin turut meninjau proses saringan kesihatan dilakukan pegawai kesihatan Hospital Orang Asli Gombak untuk penduduk kampung berkenaan.
Beliau turut menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk selain turut menyertai sambutan mini Kemerdekaan yang dianjur.


The post MB mahu Orang Asli jaga kesihatan, segera dapatkan rawatan jika sakit kritikal appeared first on Selangorkini.


