SUBANG JAYA, 11 APRIL: Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights yang berasa tersisih atau tidak menerima sebarang bantuan diseru segera menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sudah menyenarai semua nama penerima sumbangan yang layak termasuk melakukan semak silang dengan pihak berkuasa.

“Kalau yang ada rasa layak tapi rasa tersisih, boleh rujuk PTD Petaling untuk kita buat semak silang. Setakat ini kita sudah buat pemeriksaan habis
“Kita juga rujuk dengan pihak hospital, bomba dan ketua kampung. Kalau ada bukti boleh serahkan kepada pihak terbabit dan kita akan bantu,” katanya pada sidang media.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan wang tunai kepada 265 pelajar terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan melonggarkan sedikit kawalan keselamatan mulai Isnin depan bagi memberi laluan kepada proses baik pulih kediaman.
Jelasnya, fokus kawalan keselamatan adalah di ‘ground zero’ yang membabitkan kerja penstabilan tanah dan siasatan teknikal.
“Menjelang Isnin mungkin kita akan longgarkan sikit (kawalan keselamatan). Kita bimbang orang ambil kesempatan atau kes kecurian. Selepas ini kita akan benarkan pemilik rumah kerosakan kecil untuk masuk,” katanya.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
The post MB: Mangsa letupan paip gas diseru hubungi PDT segera jika rasa tersisih appeared first on Selangorkini.

