MB mohon maaf kadangkala terpaksa langgar lampu isyarat merah

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 3:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perkongsian seorang netizen berkenaan kereta dengan nombor pendaftaran NDK9 dinaiki Menteri Besar Negeri Sembilan melanggar lampu isyarat merah. Gambar kecil: Aminuddin Harun

SEREMBAN- Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kadangkala pemandunya terpaksa melanggar lampu isyarat merah bagi memastikan beliau tiba di acara rasmi tepat pada waktunya.

Beliau berkata, jadualnya yang padat dengan pelbagai program sehari menyebabkan pemandunya perlu mengejar masa.

"Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari.

"Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Aminuddin turut menjelaskan yang pejabatnya juga telah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.

Malah jelasnya, kenderaannya juga dinaiki oleh seorang pegawai polis.

"Kita terpaksa langgar, tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana nak segera sampai di lokasi.

"Saya minta maaflah, kalau tidak saya pun tak berani langgar. Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal tertentu,"katanya.

Terdahulu, tular video kenderaan rasminya melanggar lampu isyarat merah dengan keterangan kereta siapa yang kebal sangat melanggar lampu isyarat dan membunyikan siren polis.