
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menegaskan sokongan penuh dan kesetiaan kerajaan negeri kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Penegasan itu dibuat susulan dakwaan Undang Yang Empat bahawa mereka telah menandatangani satu pemasyhuran bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
Dalam kenyataan hari ini, Ismail berkata, beliau mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan Undang Yang Empat pada 5 September lalu.
Beliau berkata sebarang pandangan yang dikemukakan oleh empat Undang berkenaan adalah hak mereka.
“Fokus saya sekarang adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Kenyataan itu susulan penyebaran surat dan pengumuman berhubung satu pemasyhuran yang didakwa dibuat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam kenyataan pada 5 September lalu, Undang Yang Empat mendakwa mereka telah menandatangani pemasyhuran berkenaan pada 19 April 2026, yang mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Undang Yang Empat terdiri daripada Undang Luak yang memainkan peranan penting dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Ismail menegaskan kerajaan negeri kekal memberikan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. - Getaran, 6 September 2026





