MB Pahang bangga pencapaian pasukan robotik SK Permatang Keledang

LocalTechnology
22 Jan 2025 • 10:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kejayaan pasukan robotik SK Permatang Keledang, Pekan mengibarkan Jalur Gemilang di Busan, Korea Selatan. Foto: Facebook PPD Pekan

image is not available
Keceriaan pasukan robotik SK Permatang Keledang, Pekan selepas diumumkan memenangi pingat emas dalam kategori terbabit. Foto: Facebook PPD Pekan

image is not available
Pasukan robotik SK Permatang Keledang ketika dinilai oleh juri pertandingan. Foto: Facebook PPD Pekan

image is not available
Tiga murid Orang Asli dari SK Permatang Keledang Pekan yang berjaya membuktikan kehebatan mereka dalam pertandingan tersebut. Foto: Facebook PPD Pekan

KUANTAN - Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan atas kejayaan membawa pulang pingat emas dalam kategori Robotik Inovasi Sekolah Rendah di 26th International Robot Olympiad 2024/2025 di Busan, Korea.

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan bahawa anak-anak dalam kalangan masyarakat Orang Asli mempunyai potensi yang besar untuk berjaya jika mereka mempunyai keazaman yang tinggi.

**media[2977575]**

"Anak-anak semua telah membuktikan bahawa anak Pahang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berinovasi dan mengharumkan nama negeri serta negara.

"Syabas kepada murid-murid, guru-guru dan seluruh warga sekolah. Kami bangga dengan anda," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Kejayaan tersebut hasil kemahiran tiga murid iaitu Matthew Jambai Karong; Hafiezie Azwanizizi dan Fizrey Rovince Ronachai yang masing-masing berusia 10 hingga 12 tahun.

**media[2977576]**

Sementara itu, dalam hantaran Facebook Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan pada Selasa, Pegawai Pendidikan Daerah, Azmi Abdul Rashid turut mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian yang gemilang buat anak murid, guru pembimbing dan juga sekolah.

"Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan bakat dan kemampuan murid-muridnya, tetapi juga usaha gigih dan komitmen tenaga pengajar dalam mengasah kemahiran sains dan teknologi.

**media[2977578]**

"Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan guru untuk terus berinovasi, berusaha, dan mencapai kecemerlangan dalam bidang yang lebih luas," ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut sangat membanggakan dan mengangkat nama sekolah serta negara di pentas antarabangsa.