KANGAR – Polis merampas selaras 'shotgun' dipercayai digunakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam insiden tembakan ke arah seekor lembu korban yang didakwa mengamuk di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, rampasan turut membabitkan sembilan butir peluru jenis 'buckshot' bagi membantu siasatan.
Menurutnya, keterangan Menteri Besar Perlis itu juga telah diambil susulan insiden yang berlaku ketika Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis berikutan video tular dan laporan polis diterima.
“Hasil keterangan yang direkodkan mendapati tindakan itu diambil kerana seekor lembu mengamuk serta mengancam petugas dan orang awam yang berada di lokasi program,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semakan melalui Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar mengesahkan Menteri Besar Perlis merupakan pemegang lesen senjata api yang sah bagi senjata berkenaan.
Sebelum itu, Yusharifuddin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis daripada orang awam pada jam 4.51 petang Jumaat berkaitan rakaman video berdurasi 38 saat yang tular di media sosial memaparkan kejadian terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak.
Tambah beliau, polis memandang serius perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200 atau 04-9082222.






