MB: Politeknik bukan institusi kelas kedua, TVET ada potensi besar di Selangor

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 9:07 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SABAK BERNAM, 23 FEB: Mahasiswa politeknik tidak wajar melihat institusi itu sebagai pilihan kelas kedua, sebaliknya perlu yakin dengan peranan besarnya dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kekuatan Selangor terletak pada sumber daya manusia, justeru Kerajaan Negeri giat menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi dan industri bagi memastikan graduan memperoleh pekerjaan.

image is not available
Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari bersama pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dalam program Yok Moreh di Kafeteria PSIS, Selangor pada 22 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kekuatan Selangor adalah daripada sumber daya manusia atau sektor pendidikan. Antara langkah diambil adalah bekerjasama dengan pelbagai institusi supaya semua graduan mendapat pekerjaan.

“Kerjasama dijalinkan bersama Siemens, Dassault Systems, BMW, Proton dan Perodua dengan menyediakan latihan bagi menambah baik kemahiran sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan tinggi.

“Tidak sepatutnya mahasiswa berasa politeknik institusi kelas kedua. Bidang TVET mempunyai potensi besar dan wajar diberi perhatian serius,” katanya pada program Yok Moreh bersama 2,400 mahasiswa Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di sini.

Turut hadir EXCO Perpaduan yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail.

image is not available
Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Haslinda Abd Hamid berucap dalam program Yok Moreh bersama Dato' Menteri Besar Selangor di Kafeteria PSIS, Selangor pada 22 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata institusi berkenaan komited melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau berkata PSIS kini mempunyai 3,163 pelajar diploma dan 79 pelajar asasi, dengan 65 peratus atau 2,110 daripadanya merupakan anak jati Selangor.

“Kita mahu melahirkan graduan berkemahiran tinggi. Sokongan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda pendidikan, kebajikan pelajar dan pembangunan modal insan amat dihargai,” katanya.

View Original Article