

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 yang diadakan di Kompleks PKNS Shah Alam di sini.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan tiga pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antaranya Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan program Pembelajaran Berasaskan Kerja dalam kalangan pelajar untuk tempoh dua tahun.

Setiap pelajar mengikuti program berkenaan berpeluang merasai sendiri suasana pembelajaran dalam pekerjaan yang sebenar di setiap syarikat pilihan masing-masing.
Dua lagi MoU membabitkan PPAS bersama Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP serta Pertubuhan Dana Kebajikan Bertindak Altrus dan Little Caliphs International Sdn. Bhd. untuk kerjasama dalam bidang pendidikan.
Sejurus selepas pertukaran MoU, Amirudin melancarkan buku Imam Al-Ghazali versi kanak-kanak terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Dato’ Menteri Besar turut meluangkan masa melawat reruai yang disediakan pempamer selain beramah-mesra dengan pengunjung.

Amirudin ketika ditemui memberitahu, sebanyak 160 pempamer terlibat dalam pesta yang memasuki edisi ketiga penganjuran kali ini dengan menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 80,000.
“Mereka ini bukan sahaja menghasil serta menulis buku tetapi juga terlibat dengan aktiviti yang ada kaitan dengan anak-anak seperti penjagaan.
“Tahun lepas, kehadiran mencecah 80,000 orang. Walaupun kini berdepan jerebu, saya percaya pameran ini tetap dinanti-nantikan oleh peminat buku, guru, institusi berkaitan dan ibu bapa,” katanya.
The post MB rasmi Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025, sasar 80,000 pengunjung appeared first on Selangorkini.

