
SHAH ALAM, 3 JAN: Sebahagian penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) meraih pendapatan bulanan yang tinggi sehingga mencecah lima angka, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang diperkenalkan sejak 2020 itu sememangnya bertujuan membuka peluang kerja di sektor p-panggilan bagi menjana pendapatan.
“Sehingga kini, Kerajaan Negeri menerima permintaan melebihi 14,000 permohonan dan tahun lalu sahaja seramai 6,200 memohon skim ini.
“RiDE telah membantu 6,500 anak muda dengan sebahagiannya mencecah pendapatan lima angka,” katanya menerusi Facebook.
Amirudin berkata 3,000 penerima skim turut diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar berkata RiDE diwujudkan selepas melihat keperluan melindungi pekerja p-panggilan berikutan kebergantungan masyarakat terhadap sektor itu terutama selepas penularan Covid-19.
Setiap tahun program yang memberi bantuan wang tunai berjumlah RM500 ditambah baik dengan terbaharu Kerajaan Negeri menambah RM50 untuk caruman KWSP.
The post MB: RiDE bantu anak muda raih pendapatan bulanan cecah lima angka appeared first on Selangorkini.


