

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengarahkan seluruh unit bencana negeri memantau keadaan jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, rondaan akan dibuat secara kerap oleh agensi berkaitan terutama di kawasan titik panas yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 100.
“Saya sudah minta EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan unit bencana negeri, memantau situasi jerebu secara harian yang akan dikemaskini mengikut keperluan semasa.
“Pada masa kini, ada pengurangan (jerebu) walaupun terdapat beberapa lokasi masih mencatatkan tahap tidak sihat iaitu IPU lebih 100,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025.

Amirudin menambah, beliau sudah minta EXCO berkaitan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil langkah proaktif untuk memastikan insiden kebakaran di tiga kawasan baru-baru ini tidak berulang.
“Tiga insiden kebakaran di Kuala Kubu Bharu, Kajang dan Seri Gombak, alhamdulillah pemadaman dapat dikawal segera.
“Namun di Kuala Kubu Bharu kita akan terus pantau untuk memastikan tidak berlaku lanjutan (kebakaran) yang kita risau di kawasan tanah gambut sebab kalau berlaku (kebakaran) akan mengambil masa panjang dan melibatkan operasi lebih besar,” ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Selangor dan bahagian barat Johor paling terjejas akibat jerebu rentas sempadan, susulan tiupan angin Monsun Barat Daya yang membawa asap kebakaran hutan di tengah dan selatan Sumatera, Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalayis Ambun Dindang berkata analisis imej satelit mengesahkan kehadiran sejumlah besar titik panas di kawasan terbabit, selari dengan tiupan angin semasa yang membawa asap ke kawasan pantai barat Semenanjung.


The post MB: Selangor pantau jerebu, tumpu kawasan catat IPU melebihi 100 appeared first on Selangorkini.

