MB Selangor Ucap Selamat Hari Raya, Seru Terapkan Nilai Kesederhanaan

LocalPolitics
9 Apr 2024 • 9:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - gambar fail

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini terutama di Selangor digalakkan untuk terus menyemarakkan nilai kesederhanan yang ditunjukkan sepanjang Ramadan walaupun selepas Aidilfitri yang tiba esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dalam perutusan Aidilfitri hari ini, berkata semua pihak perlu meneruskan kesederhanaan dan ia ditampilkan bukan saja melalui tindakan.

“Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.

“Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama.

“Kebersamaan inilah yang harus kita pelihara di Selangor, lebih-lebih lagi pada detik terdapat kelompok yang ingin menimbulkan keraguan ataupun kegusaran dalam kalangan kita hanya untuk agenda-agenda beberapa individu,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengulangi pengumuman pemberian insentif khas Aidilfitri Kita Selangor iaitu satu bulan gaji kepada seramai 21,736 penjawat-penjawat awam di negeri itu.

Beliau berkata, insentif itu itu adalah atas kejayaan prestasi pungutan hasil kerajaan negeri sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

“Insentif itu telah disalurkan pada 8 April bersamaan dengan 28 Ramadan 1445. Bukan itu sahaja, pentadbiran ini juga memanjangkan insentif ini menginsafi perana guru seperti 4,350 guru-guru KAFA dengan Bantuan Mahabbah Ramadan sebanyak RM1,000 serta RM500 kepada 1,600 guru rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kesemua insentif itu memberikan implikasi kewangan sebanyak RM49.46 juta, untuk dimanfaatkan warga Selangor.

Dalam perutusan sama, Amirudin turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam terutamanya di Selangor.

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang tadi, Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah dan seterusnya pengisytiharan tarikh sambutan Aidilfitri dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam ini. – Getaran, 9 April 2024

View Original Article