
SHAH ALAM, 11 JULAI: Dato’ Menteri Besar meluahkan kesyukuran kerana terdapat rumah yang rosak akibat tragedi Putra Heights siap dibaiki oleh kerajaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan terus membela nasib mangsa termasuk meneruskan bantuan wang sewa serta proses membaiki dan membina rumah.
“Alhamdulillah. Ada penduduk yang sudah mendiami semula rumah mereka yang telah dibaiki semula oleh kerajaan. Tidak lupa juga penghargaan yang dizahirkan kepada para agensi kerajaan, syarikat swasta dan NGO yang memberi bantuan.
“Meskipun sudah 100 hari tragedi berlaku, Kerajaan Negeri akan terus membela nasib mereka. Bantuan wang sewa serta proses membaiki serta membina rumah akan diteruskan. Ini komitmen kami,” katanya di Facebook.
Insiden kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Letupan berkenaan turut menyebabkan kawah besar terbentuk di lokasi kejadian dengan kedalaman 9.8 meter dan keluasan sekitar 21 x 24 meter.



The post MB ucap syukur terdapat rumah mangsa Putra Heights siap dibaiki appeared first on Selangorkini.

