SHAH ALAM, 20 JAN: Pembabitan wanita negeri ini dalam bidang pekerjaan termasuk profesional dan ekonomi mencecah sehingga 56 peratus setakat 2023, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan setiap tahun angka berkenaan terus meningkat kira-kira dua peratus sekali gus membuktikan usaha memberdaya jantina yang dilaksana negeri berkesan.
“(Dalam pentadbiran) ada wanita dilantik ketua jabatan seperti yang dipertua, datuk bandar serta pegawai daerah. Ini adalah manifestasi dan sangat konsisten yang kita lakukan sejak 2008.

“Kita mulakan dengan program pengarus perdana gender supaya tak ada persepsi dan stigma berkenaan wanita dalam membuat keputusan. Nampaknya sudah diterima dengan baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini. Turut hadir EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari.
Sementara itu Wanita Berdaya Selangor (WBS) menerusi kenyataan memaklumkan majlis berkenaan mengumpulkan kira-kira 1,000 pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang agama, budaya, pendidikan, dan sosioekonomi.
Agensi memaklumkan penganjuran bertujuan memberi pengiktirafan kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam program pemberdayaan wanita anjurannya.
“Program juga menjadi platform menghargai usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasa wanita Selangor serta membangkitkan semangat kepada penggerak untuk terus memberikan khidmat cemerlang,” katanya.


The post MB: Wanita dalam kerjaya profesional, pembuat dasar makin meningkat appeared first on Selangorkini.


