MB: Yayasan Selangor rapatkan jurang pendidikan bandar, luar bandar

13 Jun 2023 • 9:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SUBANG JAYA: Yayasan Selangor berjaya merapatkan jurang pendidikan masyarakat luar bandar dan bandar sejak penubuhannya pada 1970, kata Dato Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi berkenaan juga melahirkan sumber manusia yang berkualiti untuk mewarisi kepimpinan hari ini hingga ke masa hadapan.

“Antara cabaran awal sejak penubuhan Yayasan Selangor untuk memastikan keseimbangan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Pelbagai insiatif diwujudkan bukan hanya bantuan wang tunai dan biasiswa kebajikan tetapi menyediakan asrama untuk mengenal pasti pelajar potensi di luar bandar yang dilatih untuk berkeyakinan dan kemampuan,” katanya.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Pendidikan Dan Logo Baharu Yayasan Selangor di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 13 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Yayasan Selangor serta Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Rakan Strategik di Grand Dorsett Hotel, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali.

Tahun lalu, menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Amirudin memaklumkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor diuruskan sepenuhnya Yayasan Selangor bermula tahun ini bagi menggembleng potensi dan prestasi pengurusan pendidikan negeri.

Jelasnya, yayasan itu akan bertindak sebagai agensi peneraju di samping elemen kawal selia dijajarkan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.