
SHAH ALAM, 24 JUN: Dua premis perniagaan di Taman Bayu Perdana, Klang dibatalkan lesen perniagaan serta-merta selepas didapati menggaji pekerja asing tanpa permit sah dalam operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), semalam.
MBDK memaklumkan tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dan semakan ke atas dua pasar mini serta sebuah restoran di Persiaran Pegaga, Taman Bayu Perdana.
“Dua premis dibatalkan lesen perniagaan serta-merta selepas didapati melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain gagal memastikan kehadiran pekerja tempatan di kaunter premis.
“Dalam operasi sama, satu tindakan sitaan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007 selain garisan keselamatan dipasang di pintu masuk premis terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, operasi berasingan di Lorong Kepayang melibatkan pemeriksaan terhadap sembilan premis perniagaan yang menjalankan 14 aktiviti komersial bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan.

Hasil pemeriksaan mendapati 13 aktiviti perniagaan memiliki lesen sah bagi tahun 2026, manakala sebuah kedai serbaneka dikesan beroperasi tanpa lesen sah.
Susulan itu, pasukan penguat kuasa mengeluarkan satu tindakan sitaan menerusi Borang Inventori selain menyerahkan tiga kompaun dan tiga Notis Niat Batal Lesen kepada wakil syarikat terbabit.
Premis berkenaan turut didapati melakukan beberapa kesalahan lain termasuk menggaji penjaga premis bukan warganegara serta gagal mempamerkan lesen perniagaan di lokasi yang mudah dilihat.
"Operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan serta membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan ditetapkan," katanya.






