MBDK naik taraf sekitar Istana Alam Shah sempena Istiadat Persandingan Diraja Selangor

26 Sep 2025 • 10:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KLANG, 26 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) giat melaksanakan kerja pembaikan, pembersihan dan menaik taraf kawasan sekitar Istana Alam Shah sempena Istiadat Persandingan Diraja Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Effendi Mohd Arif berkata tumpuan utama diberikan kepada usaha mencantikkan laluan menuju istana selain memastikan persekitaran sentiasa bersih, kemas dan indah.

“Sebagai Bandar Diraja, MBDK bertanggungjawab memastikan kawasan sekitar istana dalam keadaan terbaik dan bersih bagi meraikan detik bersejarah ini.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilaksanakan dengan rapi termasuk menaik taraf kemudahan asas dan landskap di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, di sini, semalam.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memaklumkan putera Baginda, Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor pada 22 September lalu, Dato’ Mohamad Munir Bani, Istiadat Pernikahan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Mohamad Munir berkata Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved