MBI optimum keuntungan komersial jayakan RS-2, salur manfaat kepada rakyat

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 8:31 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MBI optimum keuntungan komersial jayakan RS-2, salur manfaat kepada rakyat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan mengoptimumkan keuntungan daripada aktiviti komersial sedia ada untuk disalurkan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan inisiatif Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dato’ Saipolyazan M Yusop berkata MBI akan terus memperkukuh peranan sebagai sayap pelaburan Kerajaan Negeri dengan menjana keuntungan menerusi aktiviti komersial.

Menurutnya, keuntungan berkenaan akan diagihkan kepada pentadbiran negeri untuk dimanfaatkan semula bagi kepentingan rakyat Selangor.

“Dalam RS-2, MBI terlibat dengan dua misi iaitu Misi Pertama (Memacu Kepimpinan Eknonomi Selangor) dan Misi Keempat (Modal Insan Produktif dan Inklusif).

“Selaku sayap pelaburan kepada Kerajaan Negeri, MBI akan melihat kepada komersial sedia ada untuk kita buat keuntungan dan keuntungan itu kita agihkan kepada Kerajaan Selangor untuk dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: MBI optimum keuntungan komersial jayakan RS-2, salur manfaat kepada rakyat
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato' Saipolyazan M. Yusop berucap ketika program CEO Circle di The Saujana Hotel, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Ditemui pada program CEO Circle 26 di sini, Saipolyazan menambah perancangan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan RS-2 turut melibatkan program kebajikan yang dilaksanakan syarikat strategik MBI termasuk inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor, Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan MBI.

Katanya, program yang dilaksanakan agensi terbabit akan disusun selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri supaya manfaat dapat disalurkan kepada rakyat di seluruh daerah.

“Program kebajikan di bawah syarikat strategik MBI seperti YAWAS, ANIS dan Yayasan MBI juga tertakluk kepada perancangan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan RS-2.

“Pengagihan melalui program yang dilaksanakan agensi terlibat akan diagihkan secara menyeluruh ke seluruh daerah kepada rakyat, seiring dengan misi RS-2,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata nilai keseluruhan RM33.31 bilion yang diperlukan bagi melaksanakan RS-2 akan dibelanjakan secara saksama tanpa hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pelaksanaan rancangan itu turut membabitkan hasil anak syarikat Kerajaan Negeri, pelaburan sektor swasta serta kerjasama pelbagai pemegang taruh.

Jumaat lalu, Amirudin membentangkan RS-2 yang merangkumi rancangan hala tuju pembangunan Selangor hingga 2030 melibatkan enam misi utama yang membabitkan 25 bidang bagi menggerakkan 98 inisiatif.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved