KUANTAN, 21 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sehingga RM45 juta setahun bagi membantu kelangsungan serta kesejahteraan rakyat Selangor.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sebahagian besar jumlah itu diberikan kepada sektor pendidikan sebagai usaha mempersiapkan generasi muda dengan ilmu pengetahuan.
“Kita peruntuk lebih kurang RM10 juta untuk laksana Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Ini bukan nilai yang sedikit tetapi kita mahu perkasakan pelajar malah Selangor satu-satunya negeri yang ada program ini.
“Mahasiswa Selangor dari kalangan keluarga B40 berpendapatan bawah RM5,000 juga ditawarkan bantuan peranti sama ada komputer riba atau tablet. MBI juga bantu bayaran yuran, sewa rumah dan belanja menerusi dana zakat wakalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Program Jerayawara Siswa #KitaSelangor 2024 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini.
Ahmad Azri berkata Platform Selangor (PLATS) yang menjadi medium peniaga menjana pendapatan bakal diperkenal kepada golongan mahasiswa mulai tahun depan.
Menerusi PLATS Siswa, beliau menjelaskan inisiatif itu dapat membantu peniaga kecil dalam kalangan penuntut untuk mendapatkan pembiayaan modal serta ilmu berniaga.

“Tahun depan kita fokus cara bagaimana bantu pelajar dalam perniagaan. Ini juga dapat bantu mereka jana pendapatan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Ahmad Azri turut mengumumkan pemberian kad modul pengenalan pelanggan (SIM) berserta data Internet selama setahun kepada penuntut yang hadir mulai Mac tahun depan.
Beliau turut memaklumkan penuntut akan didaftarkan bawah Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

The post MBI: RM45 juta setahun diperuntuk untuk kesejahteraan rakyat, pendidikan diutamakan appeared first on Selangorkini.

