MBI sedia RM150,000, sumbang komputer riba buat pelajar kurang mampu

24 Sep 2024 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 24 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM150,000 untuk sumbangan komputer riba dari Januari hingga September tahun ini.

Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu disediakan untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya mereka tidak keciciran dalam menuntut ilmu.

“Bermula Januari hingga September ini kita agihkan 35 komputer riba dengan peruntukan RM150,000 supaya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak keciciran pelajaran,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Azri menjelaskan pemberian komputer riba itu akan dilengkapi kad modul pengenalan pelanggan (SIM) internet percuma selama 12 bulan.

Selain agihan peranti tersebut, MBI turut melaksanakan aktviti korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat, sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).