
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor meraikan ulang tahun ke-30 sejak penubuhannya pada 1994 dengan memberi penghargaan kepada warga kerja dalam Majlis Makan Malam 30 Tahun Jubli Mutiara yang berlangsung di Setia Alam, hari ini.
Sambutan ulang tahun ini juga adalah penting untuk mempamerkan pencapaian MBI Selangor dalam menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi negeri Selangor sejak 1994. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, sebagai sebuah entiti pelaburan yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor, MBI Selangor sentiasa berada di barisan hadapan dalam meneraju ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat Selangor dijaga agar aspirasi kerajaan negeri tercapai dalam menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang pintar, makmur dan berdaya saing.
“Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MBI Selangor mencakupi aspek ekonomi, sosial dan kelestarian. Di samping menjalankan peranan sebagai entiti pelaburan yang berimpak tinggi, tanggungjawab kepada rakyat negeri Selangor tidak diketepikan dengan memulangkan hasil pendapatan untuk memastikan rakyat menerima manfaatnya melalui bantuan dan program kemasyarakatan”, tambahnya lagi.
Dalam majlis yang sama, MBI Selangor turut memperkenalkan Pelan Strategik Kumpulan atau Group Strategic Blueprint (GSB) untuk memastikan entiti itu terus menjadi peneraju ekonomi negeri Selangor. GSB menggariskan lima fokus utama dalam memastikan pelan transformasi THRIVE28 dapat mencapai sasarannya. Lima fokus tersebut adalah:
- Peningkatan pendapatan dan keuntungan
- Mengoptimumkan portfolio perniagaan
- Transformasi digital dan automasi
- Pengukuhan tadbir urus dan struktur organisasi
- Pembangunan bakat dan budaya berprestasi tinggi
“Berdasarkan prestasi MBI Selangor selama ini, kerajaan negeri yakin akan kemampuan mereka dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi Selangor melalui pelan transformasi THRIVE28 dan GSB yang diperkenalkan hari ini. Saya juga yakin Selangor akan dapat memperkukuh pertumbuhan KDNK melalui sumbangan MBI Selangor serta syarikat-syarikat milikannya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Majlis sambutan ulang tahun ke-30 itu turut dihadiri barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor, rakan-rakan strategik, wakil-wakil media serta warga kerja syarikat-syarikat milikan.



