MBPJ, MIP meterai MoU perkukuh perancangan bandar mampan

LocalArchitecture
14 Mar 2026 • 4:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 14 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan kualiti amalan perancangan bandar.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata kerjasama tersebut turut memperkasa peranan profesional perancang bandar sebagai pemimpin strategik dalam pengurusan bandar yang mampan.

“Melalui MoU, MBPJ dan MIP akan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, latihan, pembangunan kapasiti profesional, advokasi serta pelaksanaan projek perintis yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perancangan bandar.

“Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan berdaya tahan, selaras dengan keperluan semasa serta cabaran pembangunan bandar yang semakin kompleks,” katanya pada sidang media hari ini.

image is not available
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas majlis majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) di Hotel M Resort, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Mohamad Zahri bersama Presiden MIP Mazrina Abdul Khalid menyempurnakan pemeteraian MoU tersebut pada sesi perkongsian bertajuk “Town Planner as City Manager: Beyond Compliance Towards City Leadership from Plan Submission to Strategic Urban Advisory” di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Zahri, inisiatif kerjasama itu juga selari dengan aspirasi MBPJ untuk terus memperkukuh kedudukan Petaling Jaya sebagai bandar yang progresif dan berdaya saing.

Beliau berkata, landskap pembangunan bandar masa kini turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kepadatan pembangunan, perubahan iklim serta tuntutan terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem geospatial dan analitik data turut mengubah pendekatan dalam perancangan bandar.

“Ia sekali gus menjadikan data sebagai komponen strategik dalam proses membuat keputusan pembangunan bandar.

“Sehubungan itu, profesion perancang bandar perlu berkembang daripada peranan tradisional sebagai penyedia dokumen pelan kepada penasihat strategik bandar yang mampu mentafsir data,” jelasnya.