MBSB Bank fail petisyen penggulungan terhadap Sentoria
diyana
03/11/2023 - 17:16
KUALA LUMPUR 3 Nov - MBSB Bank Bhd telah memfailkan petisyen penggulungan terhadap Sentoria Group Bhd dan anak syarikatnya, Sentoria Bina Sdn Bhd (SBSB) berhubung hutang penghakiman berjumlah RM303,268.39 dengan caj pembayaran lewat 1% setahun.
Hutang penghakiman itu adalah susulan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menyelesaikan tunggakan kemudahan sewa beli (Al-ljarah Thumma Al-Bai) (barangan tidak berjadual) (kemudahan AITAB) yang diberikan oleh MBSB Bank kepada SBSB untuk tujuan pengambilan mesin dan peralatan berkaitan dengan perniagaan SBSB.
Sentoria dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia telah menyediakan jaminan korporat ke atas kemudahan AITAB terbabit.
Petisyen penggulungan itu difailkan oleh MBSB Bank di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tarikh pengurusan kes masing-masing telah ditetapkan pada 19 September 2023 dan 9 November 2023 melalui e-semakan.
Sementara itu, pendengaran petisyen penggulungan telah ditetapkan masing-masing pada 16 November 2023 dan 18 Januari 2024.
Kecuali yuran guaman dan pembayaran kepada pihak ketiga yang terlibat untuk mencabar dan menentang petisyen penggulungan, Sentoria tidak menjangkakan sebarang kesan material ke atas kewangan dan operasi syarikat.
Ia menambah bahawa syarikat itu tidak menjangkakan sebarang kerugian lanjut yang timbul daripada petisyen penggulungan.
Sementara itu, Sentoria berkata ia sedang mendapatkan nasihat undang-undang untuk menyelesaikan dan mempertahankan perkara ini dengan bersungguh-sungguh.
Saham Sentoria ditutup tidak berubah pada 7.5 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM46.7 juta.
Satu daripada projek syarikat, Sentoria Borneo Semariang Garden di Kuching mendapat perhatian kerajaan Sarawak berikutan aduan pembeli terhadap projek perumahan terbengkalai.
Pada Ogos lalu, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd (SBLSB), pemaju projek Borneo Samariang Resort City (BSRC), telah menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan projek tersebut sehingga siap, kata Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.
Dengan perkembangan terbaharu membabitkan tindakan MBSB Bank ini, tidak dapat dipastikan apa kedudukan Borneo Samariang Resort City. - DagangNews.com


