MBSB Bank lancar Kempen Peak Savers, tawar kadar pulangan menarik, syiling emas

LocalBusiness & Finance
15 May 2024 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Bank lancar Kempen Peak Savers, tawar kadar pulangan menarik, syiling emas

herman

15/05/2024 - 12:08

KUALA LUMPUR 15 Mei - Bertepatan fokus meningkatkan Akaun Simpanan Akaun Semasa (CASA) pada 2024, MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memperkenalkan Kempen Peak Savers yang menawarkan pelanggan baharunya peluang memaksimumkan simpanan pada kadar kompetitif.

Kempen ini menyediakan kadar keuntungan tahunan sebanyak 2.8% bagi baki akaun simpanan berperingkat melebihi RM10,000 untuk tempoh 12 bulan dari tarikh pengaktifan akaun yang direka khas untuk pelanggan baharu.

Kadar ini bertujuan menjadikan simpanan berpendapatan tinggi lebih mudah diakses khalayak luas, bukan hanya pelanggan yang memiliki kekayaan sahaja.

Selain mendapat kadar kompetitif, pelanggan baharu MBSB Bank juga berpeluang memenangi sekeping syiling emas seberat 1 gram dengan mengekalkan Baki Purata Bulanan (MAB) sebanyak RM30,000 selama tiga bulan semasa kempen.

Berlangsung sehingga 31 Mei 2025, Kempen Peak Savers menawarkan cara mudah dan tanpa prasyarat biasa iaitu tiada deposit awal yang besar, tiada keperluan untuk mendaftar produk tambahan seperti takaful atau pengurusan kekayaan dan tiada keperluan transaksi seperti penggunaan kad debit atau pembayaran bil berganda sebagai kelayakan.

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pihaknya bersemangat menyambut pelanggan baharu dengan tawaran yang menakjubkan untuk meningkatkan tabiat menyimpan bagi pertumbuhan kewangan yang mudah difahami dan sangat bermanfaat kepada komuniti.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Perbankan Pengguna MBSB Bank, Usman Ghouse berkongsi aspirasinya mengenai kempen Peak Savers dalam meningkatkan nisbah CASA bank.

"Dengan cadangan unik kempen ini, kami berharap ia akan diterima baik oleh orang ramai dalam nilai simpanan yang fleksibel pada akaun operasi harian mereka melalui pulangan yang lebih tinggi pada baki," ujarnya.

"Kejayaan kempen ini akan meningkatkan nisbah CASA Bank, yang merupakan salah satu fokus utama kami pada tahun 2024 untuk Kumpulan," katanya.

Setelah menyertai, pelanggan akan mendapat akses penuh ke platform perbankan dalam talian dan mudah alih pengguna, M JOURNEY, meningkatkan pengalaman perbankan mereka dengan keselesaan di hujung jari.

MBSB Bank berhasrat untuk memperluas pangkalan pelanggan di seluruh segmen melalui cadangan nilai utama, memenuhi keperluan klien yang disasarkan.

Kempen Peak Saver adalah salah satu inisiatif untuk mempromosikan simpanan dalam komuniti. Lawati mana-mana cawangan MBSB Bank atau layari www.mbsbbank.com. bagi maklumat lanjut. - DagangNews.com