
PETALING JAYA: MCA menganggap pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi membincangkan pembahagian kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, masih belum mencapai matlamat.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan hasil pertemuan sebagai perkembangan positif berbeza dengan pandangannya.
“Saya berpandangan bahawa kita masih belum mencapai matlamat tersebut. Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini.
“Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi pada PRN Melaka selesai dengan perkembangan positif.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pengumuman mengenai hasil perbincangan itu diserahkan kepada Ab. Rauf yang diberikan mandat berbuat demikian.
“Mengenai pertemuan dengan Presiden MCA dan juga Setiausaha Agung Barisan Nasional serta Ketua Menteri Melaka memperlihatkan pencapaian yang positif,” katanya.
Mengulas berhubung pendirian MCA dalam menghadapi PRN Melaka, Ka Siong berkata, sebarang keputusan mengenai langkah seterusnya serta pendirian muktamad parti berhubung PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Katanya, beliau bersama seorang lagi pemimpin MCA telah mengadakan pertemuan dengan Ab. Rauf dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sekitar pukul 11 malam semalam, atas arahan Ahmad Zahid.
Katanya, pertemuan membincangkan isu-isu berkaitan PRN Melaka sehingga pukul 1 pagi.
“Ya, pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran. MCA telah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hati kami terhadap pengagihan kerusi bagi PRN Melaka.
“MCA sentiasa berpegang pada prinsip dengan mengemukakan fakta, hujah secara rasional dan mengadakan perbincangan secara berhemah. Apabila timbul perbezaan pendapat, kami berusaha menyelesaikannya melalui rundingan dan dialog,” katanya. – UTUSAN
The post MCA anggap pertemuan dengan pimpinan BN belum capai matlamat appeared first on Utusan Malaysia.





