
MELAKA - MCA bersedia memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah sekiranya itu yang diputuskan pucuk pimpinan komponen Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong berkata, bagaimanapun setakat ini Parlimen Alor Gajah masih kekal menjadi kerusi tradisi MCA selain Parlimen Kota Melaka.
Menurutnya, tidak menolak semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin banyak spekulasi yang timbul termasuk nama-nama calon dan pembahagian kerusi seperti desas-desus Menteri Kesihatan itu akan diletakkan di Parlimen Alor Gajah bagi mewakili BN.
"Namun setakat ini kita masih kekalkan dua kerusi MCA di Melaka iaitu di Parlimen Kota Melaka dan Alor Gajah.
"Saya percaya pengalaman dan kebijaksanaan kepimpinan parti akan buat yang terbaik dan cara ini yang diamalkan BN selama ini menerima respon yang baik dari pengundi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Program Temu Seru JPN Melaka sempena Hari Pendaftaran Negara di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia berikutan bekas Ahli Parlimen Rembau diminta untuk memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ban Hong yang juga Pengerusi MCA Melaka berkata, fokus menjelang PRU15 ini lebih kepada persiapan rapi dan menguatkan momentum jentera parti bagi memastikan calon BN menang di mana-mana kerusi ditandingi.
Pada PRU lalu, Parlimen Alor Gajah disandang bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mohd Redzuan yang pertama kali bertanding memenangi kerusi parlimen itu menewaskan calon MCA, Datuk Wong Nai Chee dengan majoriti 6,980 undi pada PRU14 lalu.
