McDonald's bangunkan hab pembekalan makanan bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu
zulfadli
18/08/2023 - 15:25
KUALA LUMPUR 18 Ogos - McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama pemerolehan 1.61 hektar tanah di kawasan milik KKIP, bagi pembinaan hab pembekalan makanan yang lengkap untuk syarikat khidmat segera tersebut di Malaysia Timur.
Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia, yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran.
Para pembekal ini adalah Bimbo QSR bagi bekalan roti bun, Tyson Foods bagi bekalan makanan seperti sayuran, dan untuk jangka panjang bekalan protein seperti nuget dan kepingan daging; dan HAVI Logistics sebagai syarikat pengedar utama yang akan menyediakan kemudahan bagi penghantaran bekalan ke seluruh restoran McDonald’s di Sabah dan Sarawak.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, hab pembekalan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, khusus bagi memenuhi keperluan restoran-restoran di Sabah dan Sarawak.
"Ia dibina berkonsepkan ‘Food Town’ dengan syarikat pembekal kami, dan beroperasi secara bersepadu di bawah satu bumbung.
"Selain melancarkan lagi pengurusan bekalan di Malaysia Timur, hab ini mampu mengurangkan kos bekalan, selain menjimatkan masa bekalan diterima dari Semenanjung Malaysia.
"Penyediaan fasiliti yang lengkap di KKIP mampu memantapkan lagi penyampaian para pembekal kami, seiring dengan rancangan pertumbuhan McDonald’s di Malaysia Timur," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, majlis memeterai perjanjian persefahaman itu ditandatangani oleh Azmir, Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah merangkap Pengerusi KKIP, Phoong Jin Zhe; Naib Presiden Transformasi Global Bimbo QSR, Natasha Galavotti; ; Naib Presiden Unit Perniagaan Malaysia Tyson Foods, Victor Sim dan Timbalan Pengurus Besar HAVI Logistics Malaysia, Dominic Alexander Lopez sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jin Zhe pula berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan McDonald’s Malaysia dan para pembekalnya di sini, apatah lagi pembinaan hab pembekalan ini membawa signal positif bagi pertumbuhan sosioekonomi Sabah.
"KKIP sentiasa bersedia menyokong syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang datang melabur di sini, dengan adanya kepelbagaian sumber yang diperlukan seperti bahan mentah, infrastruktur dan lain-lain lagi.

"Ini bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah yang ingin menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian menjelang 2030," katanya.
Sementara itu, McDonald’s Malaysia turut membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.
Azmir berkata, sebagai sebuah syarikat yang pemegang saham terbesarnya adalah orang Islam, pembayaran zakat perniagaan sudah menjadi kewajipan pihaknya saban tahun.

"Pembayaran zakat ini juga bertepatan dengan teras syarikat yang sangat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Besar harapan kami dapat mengembangkan lagi perniagaan di negeri ini dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti di sini," katanya.
Sehingga kini, terdapat 353 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia termasuklah 16 restoran di Sabah, yang mana salah satunya adalah McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2, yang turut dirasmikan pembukaannya dalam majlis yang sama.
Khusus untuk negeri Sabah, McDonald’s menyasarkan pembukaan 36 restoran baharu sehingga tahun 2030. - DagangNews.com

